Sasaran manifesto GTA perbetulkan naratif dan dasar negara – Dr. Mahathir

0
39
DR. MAHATHIR

CYBERJAYA – Gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini mengumumkan Agenda Baharu Malaysia sebagai manifestonya dalam menghadapi Pilihan Raya ke-15 (PRU15) nanti.

Agenda Baharu yang dicadangkan itu meliputi cadangan memperbetulkan struktur naratif dan dasar negara bagi memastikan negara mampu dipulihkan dan kembali kepada landasan pembangunan untuk mencapai Negara Maju dan Lestari.

Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir ketika membentangkan manifesto tersebut sebentar tadi berkata, parti pimpinannya bagaimanapun tidak akan menjanjikan bulan dan bintang sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

“Dari pengalaman yang lepas, kami dapati, apabila terlampau banyak janji dan jika
janji-janji itu melangkaui keupayaan, ianya hampir pasti tidak dipenuhi.

“Jika ia dipenuhi, ia pasti akan membebankan Kerajaan sehingga ada kepentingan awam yang terpaksa diketepikan demi memenuhi janji yang dibuat,” kata Dr. Mahathir dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook miliknya, sebentar tadi.

Atas kesedaran itu, katanya, GTA komited menubuhkan sebuah kerajaan yang berwibawa dan bertanggung jawab, serta bebas dari rasuah.

Di samping itu, kerajaan pimpinan GTA akan turut berpegang pada prinsip ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ sebagai teras kepada ke semua lapisan pentadbiran, dan menebus kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia yang berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Kami percaya, jika Kerajaan yang ditubuh berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan dapat dipenuhi.

“Selain itu, rakyat dari setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan tidak ada keadilan terpilih atau kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan tanpa gari manakala rakyat biasa tergari,” jelas Dr. Mahathir lagi.

Beliau kemudiannya menjelaskan kebebasan rakyat sebagaimana yang diperuntukan di dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya.

“Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan akan dipertahankan.

“Inilah janji kami dan janji ini mampu dan pasti kami penuhi jika diberi peluang mendirikan Kerajaan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here