Semua jawatan pemimpin parti perlu dilepaskan jika Ahmad Zahid berundur

0
54
Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata semua pemimpin parti perlu meletak jawatan sekiranya Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berbuat demikian.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu berkata, seluruh kepimpinan Barisan Nasional (BN) harus bertanggungjawab di atas kekalahan teruk gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Agenda Daily, Bung Mokhtar berkata, jika parti itu merasakan Zahid perlu meletakkan jawatan dan bertanggungjawab, pemimpin lain perlu mengikutnya.

“Sebenarnya seluruh kepimpinan mesti bertanggungjawab kerana ia (strategi PRU15) adalah keputusan kolektif.

“Jadi jika (orang lain) mahu (Zahid) letak jawatan maka semua orang mesti letak jawatan juga, termasuk saya.

“”Saya tidak fikir ia akan sampai kepada itu (Zahid berundur). Kita akan membincangkannya,” katanya kepada media ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara, hari ini (Ahad, 20 November 2022).

Bung berkata demikian ketika ditanya adakah wajar pemimpin BN mendesak Zahid berundur.

Bagaimanapun, Bung Moktar terlupa ketika kali pertama BN dan UMNO mengalami kekalahan pada PRU-14 sebelum ini, hanya Datuk Seri Najib Razak sahaja yang membuat keputusan meletak jawatan setelah menerima desakan akar umbi.

Sedangkan, Zahid yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden bersama ahli MT dan pimpinan yang lain, termasuk Bung Moktar sendiri, tidak pula meletak jawatan.

Zahid kemudian dipilih sebagai presiden parti setelah mengalahkan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah, dalam pemilihan sebelum ini.

Ketika ditanya sama ada mesyuarat biro politik Umno hari ini telah membuat sebarang keputusan mengenai parti mana yang akan diselaraskan untuk membentuk kerajaan akan datang, Bung berkata ia masih belum diputuskan.

“Kami belum memutuskan perkara itu lagi. Kami perlu membincangkannya terlebih dahulu.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here