Seri Paduka titah 30 Ahli Parlimen BN menghadap esok

0
51
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kesemua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah secara individu, esok.

Sesi menghadap baginda itu dilaksanakan susulan sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional pada pukul 4.30 petang tadi.

“Sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada pukul 10.30 pagi esok di Istana Negara.

“Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” kata Istana Negara dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Kenyataan tersebut turut menyeru dan menasihati seluruh rakyat supaya bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here