Sokongan kepada PN tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti

0
20
Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa sokongan yang diberikan oleh Ahli Parlimen dari parti lain untuk beliau membentuk kerajaan tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, mengikut Perlembagaan sokongan boleh dibuat oleh mana-mana Ahli Parlimen tidak kira dari pihak mana, sama ada secara individu, kumpulan atau parti termasuk dari calon Bebas.

“Terpulang kepada pihak BN, tapi kalau ada ahli-ahli Parlimen lain yang membuat keputusan untuk menyokong saya, itu hak di Parlimen bersandarkan hak Perlembagaan yang menetapkan seseorang yang hendak jadi Perdana Menteri mesti mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen.

“Kalau ikut istilahnya, 112 kerusi. Ia tidak sebut mesti datang dari parti A, parti B, parti C. Tafsiran Datuk Seri Zahid (melanggar aku janji parti) itu adalah mengikut pandangan dia,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Muhyiddin berkata, sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli Parlimen juga tidak menyalahi Akta Lompat Parti sehingga membolehkan mereka hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

“Ia tidak melanggar peruntukan Akta Anti Lompat Parti kerana mereka tidak keluar parti tetapi mereka secara individu menyatakan sokongan kepada saya. Jadi ia tidak menyalahi Akta Antilompat Parti.

“Malahb ia bukan sahaja yang datang dari BN, hatta dari GPS, GRS, Bebas. Dan ia memang tidak melanggar peruntukan akta itu kerana tidak keluar parti tapi menyatakan sokongan kepada saya,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi amaran ahli-ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin melanggar syarat parti.

Zahid juga menjelaskan bahawa gabungan itu tidak menjalankan sebarang perbincangan untuk menyertai PN untuk membentuk kerajaan atau melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here