SPR sarankan calon bertanding buat semakan awal sebelum Hari Penamaan

0
8
Dua pekerja am dilihat sedang menjalankan kerja mencuci tingkap bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malakat Tribune di Putrajaya, pagi ini. MALAKAT TRIBUNE

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah agar mengisi borang dan membuat semakan awal sebelum Hari Penamaan Calon.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, semakan itu boleh dibuat dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti pembayaran.

“Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik juga diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran menggunakan simbol parti yang diwakili semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.

Katanya, pada Hari Penamaan Calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC).

“Pada Hari Penamaan Calon, kertas penamaan calon boleh diserahkan dari jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di 222 PPC yang
berkenaan oleh pihak-pihak seperti calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, katanya, penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon.

Katanya, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan
pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here