Syed Saddiq isytihar aset RM1.9 juta selepas sepenggal jadi MP

0
8
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

SUNGAI BULOH – Selepas sepenggal menjadi Ahli Parlimen (MP), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengisytihar aset bernilai RM1.9 juta.

Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden MUDA dalam video di Facebooknya hari ini mendedahkan pemilikan aset yang dimiliki beliau sebelum dan selepas terlibat dalam politik.

Syed Saddiq yang pernah menjawat Menteri Belia dan Sukan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 2018 itu berkata, jumlah yang diisytiharkan itu termasuk wang tunai dimilikinya berjumlah lebih RM45,000 serta pelaburan lain bernilai RM1.2 juta.

Pengisytiharan harta setakat 30 Sept lalu itu dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Selain itu beliau turut memiliki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX bernilai RM8,500 selain membiayai kenderaan milik abangnya jenis Honda City sebanyak RM757 sebulan serta sebuah basikal terpakai jenis Pinarello berharga RM8,000.

Selain itu, aset lain diisytiharkan termasuk sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur bernilai RM880,000 dan masih dalam pembinaan serta memiliki pegangan 50% rumah keluarga di Elmina, Shah Alam, Selangor.

Beliau turut memiliki dua ekor kucing yang tidak ternilai bernama ‘Toby dan Meow Meow’ selain memaklumkan dirinya tidak memiliki aset, akaun bank di luar negara, tiada sebarang tanah serta baju dan jam mahal.

“Di sini saya nak terangkan juga ini (isytihar) sangat penting untuk ketelusan kena terangkan bagaimana aset itu terkumpul adakah ia sumber sah atau sumber haram.

“Saya juga berharap bahawa khususnya bekas-bekas menteri turut isytihar aset kerana ini penting kerana rakyat nak lihat jumlah gaji tertentu sebelum masuk politik, awal masuk politik dan selepas menjadi menteri lima tahun, 10 tahun sama ada tiba-tiba ada aset berjumlah RM50 juta, RM100 juta termasuk aset di luar negara,” katanya.

Untuk rekod, Syed Saddiq sedang berdepan kes mahkamah dan sudah diarah membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here