Tiada ruang buat pemimpin takut DAP dalam PN

0
8
Azmin bersalaman dengan Mansor ketika muncul pada program Ceramah Perdana PRU15 di Nibong Tebal, Pulau Pinang, malam tadi. – fb/Azmin Ali

NIBONG TEBAL – Perikatan Nasional (PN) tidak akan memberi ruang kepada mana-mana pemimpin yang takut untuk berdepan dengan DAP.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali berkata demikian sebagai menjelaskan keputusan gabungan itu mencalonkan bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal.

Azmin berkata, ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, Mansor tidak pernah gentar menegur pimpinan DAP.

Beliau turut menyelar PKR seperti ‘tikus’ apabila berurusan dengan pimpinan DAP, terutama dengan pengerusinya, Lim Guan Eng dan anggita veteran parti itu, Lim Kit Siang.

“Anwar (Ibrahim) tidak berani mengkritik Guan Eng dan (Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) takut menegur Kit Siang,” katanya ketika muncul pada program Ceramah Perdana PRU15, di sini malam tadi.

“Itulah sebabnya PN menampilkan calon di Nibong Tebal yang berani berdepan Guan Eng,” katanya.

Mansor merupakan bekas ketua PKR Pulau Pinang dan berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri I, bermula 2009 hingga 2013. Beliau juga pernah menyandang kerusi Parlimen Nibong Tebal selama dua penggal dan menang dengan majoriti 15,817 undi, pada pilihan raya umum 2018.

Walaupun Azmin tidak memberikan penjelasan lanjut, laporan terdahulu pernah menyebut bahawa Mansor menyifatkan Guan Eng sebagai “sombong” dalam satu rakaman suara yang bocor menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

Mansor juga mendakwa rakyat Pulau Pinang mula beranggapan Guan Eng seperti “tokong”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here