Tiada telefon bimbit di saluran mengundi – SPR

0
41
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Semua pengundi diingatkan bahawa penggunaan telefon bimbit di saluran mengundi adalah tidak dibenarkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan, pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkannya di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

“Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.

“Pelaksanaan tatacara pengundian yang baru ini bolehlah dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya,” kata SPR dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Tambahnya, maklumat mengenai tatacara itu boleh didapati di laman media sosial Facebook, Instagram dan Twitter SPR.

Sementara itu, SPR turut mengingatkan individu yang dibenarkan hadir pada mana-mana urusan berkaitan pilihan raya supaya memelihara kerahsiaan maklumat pengundian dalam pilihan raya sebagai mana termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Sehubungan itu, SPR menyeru kesemua pengundi untuk mematuhi langkah-langkah pengundian yang telah ditetapkan ini ketika berada di tempat mengundi (saluran) kelak,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here