Tidak tersenarai calon, ibu mertua Mira Filzah ungkit kuota calon wanita

0
38
Mastura Mohd Yazid

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid mempersoalkan keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang tidak mengotakan janji kuota 30 peratus untuk calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15), nanti.

Beliau membuat kenyataan itu selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon di mana-mana kerusi dalam pengumuman oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini malam tadi.

Pada PRU-15 19 November ini, kerusi Kuala Kangsar akan diwakili oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, di sini.

Dalam kenyataan di Facebooknya malam tadi, Mastura yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu membangkitkan ‘janji lama’ BN untuk memberi peluang kepada calon-calon wanita.

“Janji 30 peratus calon Wanita?? (Namun) Tak seorang pun Wanita UMNO dicalonkan untuk kerusi Parlimen di negeri Perak dan Negeri Sembilan,” kata ibu mertua pelakon popular , Mira Filzah itu.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi Mastura melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016 susulan kematian suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, pada 5 Mei tahun sama.

Pengumuman calon BN yang kontroversi malam tadi menyaksikan ramai penyandang tidak dipertandingkan semula pada PRU-15 termasuk dalam kalangan barisan menteri dari parti itu.

Antaranya Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Turut digugurkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah di Parlimen Jasin; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Parlimen Maran).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here