Todak Academy tawar Diploma Pembangunan Permainan Video dan Animasi

0
38
Para pelajar diberikan pendedahan dari pelbagai aspek termasuk keperluan sebenar dalam industri bagi memastikan kebolehpasaran yang baik.

MENYEDARI potensi industri permainan video dan seni animasi yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi ketika ini, Todak Academy menawarkan program pengajian dalam bidang kreatif itu kepada golongan muda khususnya pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Impian untuk melihatkan lebih ramai anak muda berkecimpung dalam ekosistem hiburan digital itu direalisasikan Todak Academy dengan kerjasama UTMSpace melalui dua tawaran Pengajian Profesional Pembangunan Permainan Video dan Animasi 3D iaitu di peringkat diploma dan juga sijil.

Ketua Pegawai Eksekutif Todak Academy, Taufik Rizal Aminuddin berkata, usaha pihaknya memperkenalkan program pengajian itu adalah untuk menyediakan tenaga kerja mahir dalam bidang yang semakin pesat berkembang dan mempunyai potensi yang amat besar di peringkat global khususnya.

“Bagi pengajian peringkat sijil, tempoh pengajian adalah selama 3 bulan manakala untuk program diploma tempohnya selama setahun 8 bulan.

“Misi utama kami adalah memberikan kemahiran, pendedahan dan jaminan masa depan menerusi kerjasama dengan pihak dan juga pemain utama dalam industri.

“Dalam kata lain, kemahiran yang bakal diperoleh pelajar dalam kedua-dua aliran ini setanding dan selari dengan apa yang diperlukan oleh industri,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune baru-baru ini.

Taufik Rizal Aminuddin

Taufik berkata, pengajian berkonsepkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) itu juga membolehkan para pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagaimanapun katanya, pendedahan awal di peringkat diploma yang ditawarkan sudah memadai untuk membolehkan pelatih menguasai kemahiran yang diperlukan dalam industri.

“Program sijil dan diploma ini juga terbuka kepada anak-anak muda yang tidak mempunyai keputusan yang baik dalam keputusan SPM, bahkan kita juga mempertimbangkan kemasukan tanpa sijil SPM.

“Tapi kelonggaran syarat itu tidak bermaksud program yang ditawarkan tidak berkualiti, cuma kami mahukan pelajar yang benar-benar minat untuk menceburi bidang ini.

“Dari segi pengiktirafan, kami ada perakuan dari Jabatan Pembangunan Kemahiran dan UTM, melalui UTMSpace,” katanya.

Menurut Taufik, bagi memantapkan silibus pengajian, Todak Academy juga bekerjasama dengan beberapa studio animasi antaranya Warnakala yang menghasilkan Didi & Friends dan wakil dari pengeluar video game terkemuka, Mobile Legends.

“Di Todak sendiri, kami ada Todak Studio yang telah menghasilkan dua permainan video iaitu Polis Sentri dan Together Island.

“Dari segi kelengkapan belajar pula kami menyediakan peralatan dan perisian pembangunan video games dan animasi yang terkini,” katanya.

Premis Todak Academy yang terletak di Tamarind Square, Cyberjaya.

Beliau berkata, pengambilan pertama bagi program diploma akan bermula pada Disember ini dengan kemasukan 25 orang pelajar yang akan memulakan pengajian pada Februari tahun depan.

“Kami mensasarkan kapasiti pengambilan pelajar meningkat kepada 150 orang pada penghujung 2023,” katanya.

Mengulas mengenai potensi industri itu, Taufik yakin Malaysia mampu menjadi salah satu daripada negara yang ke depan dalam ekosistem permainan video dan animasi.

“Bayangkan 3.2 bilion daripada 8 bilion penduduk dunia adalah pemain video game. Ini adalah potensi yang sangat besar dan industri kini berkembang dengan begitu pesat.

“Amatlah rugi sekiranya Malaysia tidak bersedia untuk menyertai pasaran global ini sedangkan kita ada ramai anak muda yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here