Tuduhan Kerajaan Perpaduan dikuasai DAP adalah tidak jelas – Khairuddin

0
30

CYBERJAYA – Tuduhan bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikuasai DAP amat tidak jelas.

Laporan portal Malaysia Gazette menyebut, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai berkata, tuduhan itu tidak mencerminkan fakta yang dipamerkan dalam Dewan Rakyat.

“Faktanya ialah Kerajaan Perpaduan didominasi oleh 73 ahli parlimen Melayu Islam. Pecahannya ialah 26 BN ,18 PKR, 11 GPS, 8 Amanah, 3 GRS, 3 Warisan 3 DAP dan 1 MUDA.

“Barisan pembangkang daripada PN pula mempunyai 72 ahli parlimen Melayu Islam. 73 vs 72 Melayu Islam,” katanya hari ini.

Jelas bekas menteri Perikatan Nasional (PN) itu, adalah menjadi kewajipan 145 Ahli Parlimen beragama Islam di Dewan Rakyat memastikan Kerajaan Perpaduan terus dipayungi oleh Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu.

“(Seramai) 72 daripada PN berkewajipan menjadi pembangkang yang melaksanakan semak dan imbang,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan mendakwa DAP bersikap melampau apabila cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam namun tidak boleh menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam.

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa DAP menyebarkan fahaman Islamofobia terhadap golongan bumiputera bukan Islam walaupun pemimpin parti itu pernah memohon maaf terhadap kesilapan lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here