UMNO ‘terkorban’ sebab pemimpin jadikan parti sebagai tebusan – Najmil Faiz

0
46

CYBERJAYA – Gesaan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur terus disuarakan oleh akar umbi setelah kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

Terbaharu, Exco Pemuda, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, menggesa Ahmad Zahid supaya bertanggungjawab dan berundur secara bermaruah.

“Baik-baik jadi kerajaan, dia (Ahmad Zahid) sibuk desak agar PRU15 diadakan segera dan ditambah dengan strategi yang menjahanamkan kawasan putih BN.

“Pengerusi BN itu perlu terima hakikat bahawa kekalahan teruk dialami parti membuktikan bahawa rakyat tidak suka kepada Ahmad Zahid, tetapi pentaksub kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih tidak mahu menerima kenyataan,” katanya melalui kenyataan dimuatnaik di laman Facebook miliknya, hari ini.

Pada PRU15, BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi Parlimen, manakala PN menerusi tiket PAS menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan.

Najmil Faiz berkata, kekalahan teruk BN itu membuktikan UMNO menjadi korban disebabkan tindakan pemimpin yang menjadikan parti sebagai tebusan.

“Kita kecewa dan sedih kerana segala kebaikan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah tidak bermakna di mata rakyat.

“Kekalahan teruk itu membuktikan rakyat tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pemimpin yang rakus dan ego,” katanya.

Najmil Faiz berkata, pemimpin parti yang mengeluarkan kenyataan untuk memberi pandangan dituduh sebagai pengkhianat.

“Ke manakah hala tuju BN selepas ini dan adakah akan menyertai Jajaran Baharu bersama PN (Perikatan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan)… ?

“Berundurlah wahai Ahmad Zahid dengan bermaruah supaya tiada ruang untuk kerjasama UMNO dan PH,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here