Ustaz Kazim Elias, Mashitah Ibrahim antara dua tokoh agama terkenal dicalonkan BN

0
48
Datuk Mohd. Kazim Elias diletakkan di Parlimen Larut

KUALA LUMPUR – Dua tokoh agama terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias dan Datuk Mashitah Ibrahim dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Putra sebentar tadi.

Mohd Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim akan bertanding di kerusi Parlimen Larut manakala Mashitah yang pernah menjadi ahli Parlimen Baling membuat kemunculan semula dengan diletakkan di Parlimen Kuala Kedah.

Ustaz Kazim dijangka menerima laluan getir apabila berhadapan dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam pada itu, BN turut mempertaruhkan muka baharu di Parlimen Sungai Petani dengan menyenaraikan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff untuk merampas kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Exco Kedah, Suraya Yaacob masing-masing diberi tanggungjawab untuk merampas semula kerusi Parlimen Jerai dan Pendang yang dimenangi oleh Pas dalam PRU14.

Di Langkawi pula, BN mempertaruhkan muka baharu iaitu bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj.

Sementara itu, dua kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN dalam PRU14 di Kedah iaitu Padang Terap dan Baling masing-masing akan dipertahankan oleh penyandangnya iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Kerusi lain di Parlimen Kedah yang ditandingi BN ialah Datuk Othman Aziz (Jerlun); Hasmuni Hassan (Kubang Pasu); Noran Zamini Jamaluddin (Pokok Sena); Tan Chee Hiong (Alor Star) Maizatulakmam Othman (Sik); Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok); C Sivaraj (Padang Serai) dan Muhar Hussain (Kulim).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here