Zahid Hamidi digesa undur diri sebagai Presiden UMNO- MB Johor

0
52
Onn Hafiz

CYBERJAYA – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN perlu berjiwa besar dengan meletak jawatan seperti dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018.

“Insya-Allah tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang kita semua cintai ini.

“Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan InsyaAllah, perjuangan ini akan diteruskan,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu, katanya, keputusan PRU15 turut menyaksikan UMNO dan BN di Johor hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen dan ini sekali gus tidak menepati sasaran yang diletakkan pucuk pimpinan parti.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menzahirkan kekecewaan apabila parti itu tidak memenangi satu pun kerusi bagi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu.

“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui PRU15.

“Usaha untuk memulihkan parti ini perlu bermula sekarang, jika tidak berubah sekarang kita tidak akan menang satu kerusi pun pada masa akan datang.

“Kita semua perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan demi masa depan parti ini,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here