Zahidi ramal BN Perlis hilang dua kerusi Parlimen, 9 kerusi DUN pada PRU-15

0
31
Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia Malaysia, Zahidi Zainul Abidin

KANGAR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Zahidi Zainul Abidin meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kalah teruk di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Penyandang kerusi Parlimen Padang Besar itu turut menjangkakan BN akan hilang sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen iaitu Arau serta Parlimen Padang Besar yang ditandinginya.

Dalam PRU-15 ini, Zahidi yang digugurkan oleh BN, bertanding atas tiket Bebas untuk mempertahankan kerusi disandangnya.

Beliau berdepan saingan lima penjuru daripada calon Perikatan Nasional, Datuk Rushdan Rusmi; Ko Chu Liang (Warisan); Datuk Zahida Zarik Khan (BN); dan Mohamad Saad @ Yahya (PH).

Kerusi Parlimen Arau pula ditandingi seorang lagi bekas pemimpin UMNO yang digugurkan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

Memetik laporan Utusan, BN turut berdepan masalah menarik pengundi di Kangar, susulan kebangkitan gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional.

Mengulas lanjur, Zahidi berkata, ramalan beliau dibuat hasil kajian dan situasi semasa sokongan yang semakin menurun terhadap BN setelah parti itu menggugurkan calon boleh menang.

Beliau turut menjangkakan BN akan kehilangan sekurang-kurangnya sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya Sabtu ini.

“Di Arau, empat kerusi sudah tentunya kalah, iaitu Guar Sanji, Pauh, Simpang Empat dan Sanglang. Di Kangar, BN dijangka kalah di Kuala Perlis, Indera Kayangan, Sena dan Bintong.

“(Di) Padang Besar, BN dilihat sudah pasti kalah di DUN Titi Tinggi, manakala Parlimen Arau, Shahidan Kassim dilihat tidak menghadapi masalah untuk menang, selain Padang Besar peluang 50-50 untuk BN menang,” katanya menurut Utusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here