15 mayat mangsa maut telah diserahkan kepada waris

0
12
Suffian Abdullah bersama Norazam Khamis pada sidang media di tapak tanah runtuh di Batang Kali, hari ini. Gambar utama Ihsan Bomba.

KUALA KUBU BHARU – Sebanyak 15 mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat sini telah diserahkan kepada waris.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, setakat ini sebanyak sembila lagi mayat mangsa masih belum dituntut waris dan dalam proses pengecaman di Hospital Sungai Buloh.

“Berkaitan dengan pengurusan mayat di hospital, saya ingin memaklumkan bahawa 15 daripada mangsa maut telah diserahkan kepada keluarga mereka semalam.

“Mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya di pusat kawalan tragedi di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis.

Setakat petang semalam, 24 mangsa maut kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm berjaya dikeluarkan manakala sembilan lagi masih dipercayai tertimbus.

Beliau menasihati mana-mana keluarga atau saudara rapat yang terlibat dengan kejadian itu hadir Hospital Sungai Buloh untuk membuat pengecaman atau membuat laporan kehilangan di balai polis.

“Justeru pihak polis ingin menasihati mana-mana waris, saudara dan rakan yang hilang dan terlibat dalam kejadian tanah runtuh untuk datang ke Hospital Sungai Buloh untuk mengenal pasti mayat,” katanya.

Sementara itu, Suffian berkata, pihak polis telah mengambil keterangan daripada pengusaha tapak perkhemahan yang terlibat dalam insiden itu semalam.

“Tiga individu yang merupakan seorang pengusaha dan dua pekerja tapak perkhemahan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor semalam.

“Kita akan lakukan siasatan sewajarnya dan mungkin akan ada lagi pihak yang akan diambil keterangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here