Abdul Hadi selesai beri keterangan di IPD Dang Wangi, Sentul, Alor Setar

0
22

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa umat Islam khususnya organisasi, badan dan pertubuhan bukan kerajaan tampil membuat laporan berhubung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan tiada lagi mana-mana pihak termasuk pemimpin parti politik membuat kenyataan berbentuk Islamophobik atau anti-Islam.

“Saya nampak kerajaan baru ini sangat ‘pro aktif’. Hari ini giliran saya (hadir memberi keterangan).

“Saya minta bila giliran ada isu menyentuh sensitiviti umat Islam, siasatan juga disegerakan, disiasat sama seperti saya hari ini, kita tunggu dan lihat,” katanya kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul petang ini.

Abdul Hadi hadir ke IPD Sentul, Dang Wangi dan Alor Setar bersama peguamnya untuk memberi keterangan berhubung laporan yang dibuat ke atas beliau berhubung kenyataannya yang mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang PAS daripada berkuasa.

Abdul Hadi yang disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia berkata, beliau telah memberikan kerjasama yang baik kepada polis dan sedia untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak polis menjalankan siasatan dengan profesional dan selesai dalam masa 2 jam.

“Saya telah memberikan kerjasama yang baik berdasarkan soalan-soalan yang diberikan dan memberi penjelasan. Saya sedia untuk tindakan selanjutnya, sama ada untuk ke mahkamah atau sebaliknya, ini giliran saya,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim mengenai usaha PN untuk berkuasa menjadi kerajaan, Abdul Hadi yakin perkara itu akan menjadi kenyataan berdasarkan sokongan pengundi pada PRU-15.

“Sekurang-kurangnya untuk Pilihan Raya Umum akan datang, ini berdasarkan pengaruh yang kita ada, kita lonjakkan lagi.

“Kita lihat pada perkembangan selanjutnya, apakah tindakan dan reaksi rakyat terhadap kerajaan hari ini yang saya nak bagi nama apa pun saya tak tahu,” sinisnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here