Anggap penamatan perkhidmatan satu penganiayaan, bekas KPPA mahu saman pihak terlibat

0
33

CYBERJAYA – Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang ditamatkan perkhidmatan semalam menganggap penamatan perkhidmatannya sebagai satu bentuk penganiayaan.

Berikutan itu, kata portal FMT, beliau dilaporkan mahu mengemukakan saman terhadap terhadap pihak yang terlibat ke atas penamatan perkhidmatannya itu.

Mohd Shafiq turut dilaporkan terkilan dan amat tidak puas hati dengan keputusan yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, hari ini.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiayai saya,” kata Mohd Shafiq.

Terdahulu, media melaporkan perkhidmatan Mohd Shafiq ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Dalam pengumuman itu, Mohd Zuki dilaporkan sebagai berkata, penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Kata Mohd Zuki, Mohd Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

Mohd Shafiq, 58, berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pegawai tinggi kerajaan telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen).

Insiden itu dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 3 Ogos lalu.

Rentetan itu, Mohd Zuki pada 7 Ogos lalu mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Siasatan, yang dipengerusi Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here