Annuar kongsi mimpi rumah pusaka terbakar

0
25
Annuar berkongsikan gambar semasa berkempen di PRK Padang Serai, baru-baru ini.

BANGI – Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa pada pagi ini berkongsikan mimpi rumah pusaka yang didiaminya terbakar.

Hantaran melalui Facebooknya itu dilihat sebagai analogi kepada tegurannya kepada UMNO yang mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Dalam rangkap yang dikongsikan, ‘metafora’ Annuar juga dilihat seolah-olah memberi bayangan kepada berita pemecatan tiga pemimpin UMNO daripada parti itu malam tadi.

“Malam Jumaat,saya bermimpi.Rumah Pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada main switch dah short circuit atau wayarnya terputus.

“Ramai penghuni rumah sudah lari meninggalkan rumah yg terbakar, atau dibakar,Wallahuaklam.

“Saya sayang rumah itu.Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dalam kekalutan orang ramai meninggalkan rumah yang sedang hangus terbakar, beliau telah ditarik keluar.

“Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar.
“Walaupun saya amat sayang rumah itu,saya hanya mampu berdoa..”ya Allah kpd Mu aku berserah dan kepadamu jua aku meminta pertolongan.
“Kau selamatkanlah “rumah” yg sedang terbakar itu..Amiin ya Rabb,” katanya.

Pemecatan tiga pemimpin UMNO diumumkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi malam tadi atas kesalahan berkempen untuk parti lain semasa Pilihan Raya Umum ke 15 lalu.

Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu dilaporkan memecat seorang Ketua Bahagian dan dua Ketua Wanita UMNO Bahagian.

Dua Ketua Wanita UMNO Bahagian yang turut dilaporkan dipecat MKT UMNO adalah Ketua Wanita UMNO Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Maran, Datin Seri Fatimah Kassim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here