Barangan perkhemahan jadi petunjuk SAR

0
5
Datuk Norazam Khamis bersama Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah ketika sidang media yang diadakan di tapak tanah runtuh Batang Kali hari ini.

KUALA KUBU BHARU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm dekat sini akan tertumpu di lokasi penemuan mangsa dan alat-alat perkhemahan dalam misi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, radius operasi SAR pada hari kedua hari ini akan tertumpu di lokasi penemuan barang-barang perkhemahan yang dipercayai menjadi lokasi mangsa tertimbus.

Beliau berkata, sektor pencarian SAR yang melibatkan 135 anggota dari lima agensi dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu A (Hill View), B (Farm View) dan C (Riverside).

“Daripada tiga sektor itu, sektor C akan diberikan perhatian pada hari ini.

“Ini berdasarkan penemuan barang-barang perkhemahan yang menjadi petunjuk kepada pasukan penyelamat untuk mengesan mangsa yang masih tertimbus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah di lokasi berhampiran lokasi runtuhan hari ini.

Mengulas mengenai pencarian hari ini yang bermula pada 8 pagi tadi, Norazam berkata operasi melibatkan tujuh ekor anjing pengesan (K9) daripada JBPM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk penggunaan jentolak.

Bagaimanapun beliau memaklumkan pihaknya berdepan kesukaran akibat keadaan tanah lembut di lokasi kejadian dan aliran air yang boleh menyebabkan gelongsoran susulan.

Norazam berkata, operasi hari ini akan diteruskan selama 24 jam dan akan diteruskan sehingga hari ketujuh.

“Kita akan dihentikan operasi jika berlaku hujan lebat dan sekiranya masih ada keperluan (SAR) selepas hari ketujuh, kita akan berbincang dengan pihak-pihak berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here