CUEPACS minta semua pihak tidak panjangkan isu penamatan khidmat Mohd. Shafiq

0
49
ADNAN

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) meminta semua pihak terutama warga perkhidmatan awam tidak memanjangkan isu penamatan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Pada masa yang sama, Presidennya, Datuk Adnan Mat turut menggesa supaya isu penamatan perkhidmatan tersebut tidak digunakan sebagai modal politik sambil menambah, peristiwa penamatan tugas Mohd Shafiq perlu digunakan sebagai pengajaran berguna.

“Selari dengan keputusan penamatan yang diambil melalui prosedur Penamatan Demi Kepentingan Awam, semua pihak perlu menghormatinya.

“Keputusan telah dibuat kerajaan bersandarkan hasil dapatan daripada jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan dan semua pihak harus menghormatinya sebagai suatu pengajaran yang berguna,” tegasnya.

Adnan berkata, CUEPACS amat menghargai jasa dan sumbangan Mohd. Syariq dalam perkhidmatan awam walau apapun alasan terhadap penamatan tugas beliau.

Katanya, CUEPACS telah dimaklumkan mengenai penamatan perkhidmatan Mohd Shafiq berkuatkuasa pada 12 Disember 2022.

Sementara itu, Adnan berkata, semua pihak termasuk pegawai lantikan politik dalam perkhidmatan awam perlu menjadikan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panduan.

Anwar telah memberi panduan bahawa mereka yang berada dalam kerajaan perpaduan harus menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam dalam usaha pemulihan negara.

“Sudah tentu sikap hormat menghormati menjadi asas utama bagi membentuk sebuah permuafakatan yang baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here