Dasar Pengurusan Bencana Negara akan digubal bagi pastikan keterlibatan semua pihak

0
6

PUCHONG – Peranan dan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pengurusan bencana akan diperkasakan menerusi penggubalan Dasar Pengurusan Bencana Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dasar yang bersifat holistik dan menyeluruh itu masih dalam peringkat perbincangan.

“Aspek pengurusan bencana tidak boleh hanya bergantung kepada agensi kerajaan tetapi turut memerlukan penglibatan masyarakat,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd, Ali.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sejurus hadir pada Majlis Perjumpaan bersama Rakan Nadma, di sini hari ini.

Armizan seterusnya menjelaskan, keterlibatan NGO dalam menguruskan bencana turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu.

“Antara yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah untuk memperkasakan peranan NGO membantu kerajaan dalam menguruskan bencana negara.

“Ketetapan itu kemudiannya dilaporkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah ambil maklum dan meminta semua pihak supaya mengambil perkara ini secara serius,” jelas Armizan.

Beliau pada masa yang sama turut memuji Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam merintis usaha awal dengan menubuhkan Rakan Nadma.

Rakan Nadma yang dirintis sejak 2017 merupakan platform rangkaian kerjasama dalam menggembleng usaha ketika pengurusan bencana khususnya memberikan bantuan kepada golongan sasar yang terkesan.

“Setakat ini, sebanyak 147 buah badan sukarela telah mendaftar di bawah Rakan NADMA dan sesi perjumpaan hari ini diadakan dengan objektif untuk mengiktiraf pihak-pihak yang terlibat sekali gus menjadi pemangkin untuk mendapatkan syor dan pandangan mereka bagi
meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta ketahanan negara dalam pengurusan bencana.

“Selain itu, Nadma juga menggerakkan usaha penglibatan masyarakat melalui pendekatan Pengurusan Risiko Bencana Berorientasikan Komuniti (CBDRM) yang pada tahun ini telah melibatkan seramai 22,991 peserta dari pelbagai latar komuniti,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here