Dua maut, ramai lagi dipercayai tertimbus dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan

0
34
Kawasan tapak perkhemahan di Jalan Gening-Batang Kali yang terjejas akibat runtuhan awal pagi tadi.

KUALA KUBU BHARU – Dua disahkan maut manakala berpuluh-puluh dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Gening-Batang Kali, awal pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan melalui laman Facebook Korporat JBPM yang memetik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor susulan insiden membabitkan 79 mangsa kira-kira jam 2.20 pagi tadi.

“Maklumat dikemas kini setakat jam 7 pagi tadi, sejumlah 79 mangsa berada di tapak perkhemahan terbabit kejadian runtuhan, dengan 23 daripadanya selamat.

“Sehingga kini, dua mangsa disahkan meninggal dunia, dengan tiga cedera dan 51 yang lain masih belum ditemui.

“Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan pihak bomba dibantu bersama agensi lain iaitu Persatuan Bomba Sukarela, Bomba Swasta, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),Kementerian Kesihatan (KKM) dan pasukan SMART,” katanya.

Media tempatan pagi ini melaporkan 28 orang berjaya diselamatkan manakala berpuluh-puluh lagi dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan tersebut.

Kejadian dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highland itu melibatkan runtuhan tanah lereng bukit setinggi kira-kira 30 meter.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.24 pagi sebelum mengerah pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan Rawang ke tempat kejadian.

“Dalam maklumat awal, komander operasi melaporkan kejadian tanah runtuh yang berlaku di tepi jalan berhampiran Father’s Organic Farm dan menghempap tapak perkhemahan berkenaan yang berada berdekatan dengannya.

“Ketinggian runtuhan dianggarkan 30 meter dengan anggaran keluasan tanah runtuhan 0.4 hektar. Maklumat awal dari polis terdapat 100 orang yang berada dalam tapak perkhemahan tersebut yang berkemungkinan menjadi mangsa runtuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, maklumat terkini diterima daripada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberitahu 31 mangsa ditemukan selamat di lokasi kejadian.

“Pasukan K9 dan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan dari BBP Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas turut dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Turut dikerah ke lokasi kejadian adalah pasukan Unit Operasi Taktikal dan Pasukan Menyelamat (STORM),” jelasnya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here