Dua suspek sindiket pecah tabung masjid tewas di Lipis

0
9
Superintendan Azli Mohd Noor bersama bahan bukti yang dirampas daripada suspek kes pecah tabung masjid di daerah Lipis.

LIPIS – Polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes memecah tabung masjid di sekitar daerah ini dengan tertangkapnya dua suspek lelaki baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dua suspek berkenaan ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 24 dan 28 Disember lalu.

Katanya, suspek pertama dipercayai kerap menyasarkan masjid-masjid di jalan utama serta sering menyamar sebagai seorang musafir dan melakukan jenayah pada waktu siang hari sekitar pukul 2 hingga 4 petang.

Suspek kedua pula lelaki berusia 40 tahun dipercayai terlibat melakukan perbuatan itu sejak Ogos lalu dengan memecah masuk masjid, sekolah dan kediaman orang ramai. Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2 hingga 5 pagi.

“Hasil serbuan pertama, suspek yang berusia 28 tahun berjaya ditangkap pada 28 Disember kira-kira pukul 9.30 malam di sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya Indah, Temerloh.

“Manakala, suspek berusia 40 tahun telah ditangkap dalam serbuan kedua pada 29 Disember 2022 pada pukul 8 pagi di sebuah surau di Kampung Chegar Perah, Kuala Lipis.

“Polis turut merampas dua buah motosikal jenama Yamaha Y15ZR berwarna merah dan biru; dua buah topi keledar jenama MS88; pam racun, sehelai baju warna biru, sehelai seluar jeans panjang warna biru, dua beg sandang berwarna hitam, sepasang kasut berwarna hitam dan wang tunai berjumlah RM74,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azli berkata, suspek pertama mempunyai empat kes rekod jenayah lampau berkaitan ugutan jenayah, dadah dan menipu melibatkan Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 39(a)(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seskyen 3 Akta Penagih Dadah.

Manakala suspek kedua pula mempunyai tiga rekod lampau berkaiatan kes curi dan kes dadah melibatkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Sementara itu, hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis MOP dan methamphetamine dan ditahan reman di Lokap Balai Polis Kuala Lipis sehingga 3 Januari 2023 untuk siasatan lanjut.

“Berikutan tangkapan dua lelaki ini, IPD Lipis berjaya menyelesaikan tujuh kes melibatkan kes pecah tabung masjid, satu kes pecah sekolah, satu kes pecah tabika dan satu kes pecah rumah membabitkan anggaran kerugian sebanyak RM5,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan yang boleh membawa hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah atau sekolah yang boleh membawa hukuman penjara boleh sampai 14 tahun penjara dan denda,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here