Isu sekolah daif di Sabah, Sarawak jadi keutamaan KPM

0
14
Menteri Pendidikan, YB Senator Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR – Isu pembangunan sekolah daif di pedalaman Sabah dan Sarawak akan dijadikan keutamaan dalam pelaksanaan fokus-fokus teras Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, fokus utama melalui pendekatan itu adalah untuk  memastikan kanak-kanak di dua negeri itu mendapat akses pendidikan yang sama rata.

Beliau berkata, dalam tempoh 100 hari pertama memegang portfolio menteri pendidikan, keperluan yang paling utama ketika ini adalah untuk melihat keperluan sekolah dan menilai penambahbaikan yang sedang dan akan dijalankan.

“Akses pendidikan untuk pelajar-pelajar ini adalah keutamaan kami,” katanya pada program “Ruang Bicara” Bernama TV dengan pengacara Sherkawi Jirim.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan individu bernama Lin Yee dari Sabah mengenai keadaan 50 sekolah di pedalaman Sabah terutama di Pensiangan, Nabawan dan Tenom.

Lin berkata, projek solar kerajan terdahulu juga telah terbengkalai di 50 sekolah hibrid di negeri itu.

Fadhlina turut berkongsi bahawa golongan seperti kanak-kanak Orang Asli turut diberi perhatian khusus oleh kementeriannya.

“Selain memastikan akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli, kami telah beri kepentingan kepada pendekatan berasaskan komuniti yang dirangka untuk mengelakkan golongan rentan daripada terus terpinggir.

“Ini menerusi program Kedap yang memperkenalkan kelas untuk Orang Asli dewasa khususnya ibu bapa.

“Ada ibu bapa orang asli untuk datang kelas bersama anak-anak mereka supaya mereka lebih dapat membantu anak-anak mereka buat kerja sekolah,” jelasnya.

Fadhlina berkata program ini membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran membaca,menulis dan matematik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here