Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan, tiada perubahan

0
34
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 yang dijadualkan bermula pada Mac 2023 dikekalkan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penetapan itu bagi memastikan jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari, selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021.

“KPM juga mengambil maklum cadangan daripada beberapa pihak untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada bulan Januari.

“Namun, mengambil kira kebajikan para guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan ini bagi meminimakan impak kepada pihak-pihak berkaitan,” kata kenyataan tersebut.

Pada masa yang sama, kata KPM, phaknya turut mengambil kira pandangan yang diterima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada bulan November dan Disember kerana bertembung dengan musim tengkujuh.

“Pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas peperiksaan, malah kepada murid dan ibu bapa yang terlibat.

“Apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini,” jelas kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi sekolah Kumpulan A iaitu di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu).

Bagi Kumpulan B pula, iaitu sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, sesi persekolahan bermula dari 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here