Kerajaan Negeri Sembilan lihat keperluan adakan SOP kawal selia penyedia perkhidmatan perkhemahan

0
5
AMINUDDIN

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk diguna pakai oleh penyedia perkhidmatan perkhemahan dan pelancong di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu perlu dilaksanakan berikutan tiada SOP atau undang-undang khusus bagi mengawal selia perkhidmatan tersebut.

“Tadi mesyuarat Exco kita ada menerima permintaan daripada persatuan eko-pelancongan ini untuk mereka mendaftar, cuma kita tidak tahu mereka perlu berdaftar kepada pihak yang mana. Kalau belum ada, kita perlu membuat SOP dan harus (mendapat) persetujuan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Ia susulan berdasarkan trend hari ini ramai yang suka bermalam di khemah-khemah contohnya di pantai Port Dickson penuh setiap kali hujung minggu.

“Begitu juga dengan kawasan dekat tepi sungai, air terjun dan berbukit,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Berikutan itu kata Aminuddin, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan telah diminta untuk menyemak dan melihat undang-undang kecil sedia ada sebelum SOP berkaitan dilaksanakan.

“Ia supaya dapat kita selaraskan sekali gus boleh memberikan keselamatan yang maksimum kepada orang ramai yang menggunakan perkhemahan terbuka ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Aminuddin turut berkata, semua lokasi rekreasi yang berisiko tanah runtuh ataupun kejadian kepala air di negeri ini telah ditutup buat sementara waktu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dengan mengambil kira keadaan cuaca ketika ini.

Media sebelum ini melaporkan, pada Jumaat, seramai 94 mangsa yang terdiri daripada pengunjung juga pekerja tapak perkhemahan Hilltop di Father’s Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali terlibat dalam insiden tanah runtuh yang melanda kawasan tersebut.

Dalam kejadian itu, 68 mangsa terselamat manakala setakat hari ini, 26 mayat mangsa telah ditemukan dengan tujuh lagi mangsa masih hilang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here