KPKT fokus tujuh agenda utama untuk sejahterakan rakyat – Kor Ming

0
35

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memfokuskan tujuh agenda utama dalam usaha mensejahterakan kehidupan rakyat Malaysia.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, antara fokus utama tersebut adalah pembangunan dan pemerkasaan peranan kerajaan tempatan serta membangunkan potensi pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai organisasi kukuh kewangan.

Kor Ming yang memulakan tugasnya secara rasmi hari ini berkata, agenda lain yang akan difokuskan termasuk perancangan perumahan yang lebih komprehensif dengan mengambil kira isu-isu pemilikan dan pembinaan rumah, serta pemerkasaan komuniti supaya peranan komuniti dalam pembangunan bandar dapat ditingkatkan.

“(Ini termasuk) pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif dan efisien dengan meningkatkan kaedah pengurusan sisa sebagai sumber tenaga. Saya juga akan melihat kepada alternatif terbaik dalam menguruskan sisa pepejal negara, melalui kaedah berteknologi tinggi.

“… (selain itu) memperkukuhkan agenda bandar pintar dan bandar selamat. Saya akan melihat pencapaian dan keberkesanan yang dicapai dalam Rangka kerja Bandar Pintar Malaysia 2019-2025… mungkin perlu melihat satu pengukuran indikator yang baharu supaya agenda ini lebih berdaya maju dan berkesan,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau kemudiannya menambah, tumpuan turut diberikan ke arah memperkukuhkan kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat supaya pasukan tersebut dapat memberi perkhidmatan secara cekap dan berkesan.

Terdahulu, ketibaan Kor Ming di kementerian di sambut oleh Ketua Setiausaha, Datuk M. Noor Azman Taib; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Muhammad Razman Abu Samah; Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Datuk Azhar Ahmad, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) Datuk Saidatu Akhma Hassan.

Beliau juga berkata, Ketua Setiausaha diminta supaya menyampaikan misi kementerian bagi memperkasakan khidmat kerajaan tempatan seperti pengurusan sampah dan longkang kepada Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah dan Perbandaran di 155 PBT seluruh negara.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan melaksanakan semula pilihan raya kerajaan tempatan, Kor Ming berkata, perkara itu bukan keutamaan buat masa ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here