
CYBERJAYA – Langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik individu yang menghadapi puluhan kes mahkamah ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri.
Bekasa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassn berkata, Perdana Menteri telah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen pilihan raya apabila melantik kleptokrat menganggotai Kabinet.
“Ini adalah barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat itu tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.
“Beliau sendiri sebagai Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewangan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini.
“Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata. Prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyelar langkah melantik Ahli Parlimen yang dikenali dengan sikap cauvinis melampau menerajui kementerian tertentu yang bakal mengundang kontroversi.
Katanya, dijangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan oleh menteri berkenaan nanti.