Pembaikan laluan Batang Kali – Gohtong Jaya ambil masa setahun

0
15
Wan Ahmad (tengah) menyaksikan majlis menandatangai Perjanjian Usahasama antara Koperasi JKR malaysia dengan Sinar Selamat Sdn Bhd pada program HPTN 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerja membaik pulih laluan menghubungkan Batang Kali – Gohtong Jaya yang terputus akibat kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada Jumaat lalu dijangka memakan masa setahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, laluan berkenaan hanya akan dibuka semula selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) selesai melakukan kajian dan pembaikan cerun di lokasi berkenaan.

“Jalan itu dari segi integritinya OK. Cuma kita tak berani, jadi ia masih ditutup sehingga pembaikan cerun baharu dibuat.

“Biasanya pembaikan cerun memakan masa setahun. Tapi buat masa ini kita ada jalan alternatif. Apa yang berlaku JKR akan maklumkan melalui bilik gerakan mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2022 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai insiden yang telah mengorbankan 24 mangsa dan 9 yang masih hilang itu, Wan Ahmad Uzir berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah yang berlaku secara semula jadi.

Katanya, kajian Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR juga mendapati tiada sebarang aktiviti pengaliran air di kawasan tapak yang boleh menyebabkan runtuhan.

Beliau turut memaklumkan kejadian tanah runtuh di kawasan cerun adalah perkara biasa di negara ini dan hasil pemantauan pihaknya mendapati terdapat 1,045 lokasi hotspot yang berisiko sama di negara ini.

Wan Ahmad (tengah) diberi penjelasan mengenai teknologi yang dipamerkan pada program HPTN 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Program HPTN bertemakan ‘Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan’ itu dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi secara maya.

Pelbagai acara dianjurkan sepanjang program dua hari itu antara Pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pertandingan e-sport, fotografi, larian, kempen kesihatan, cabutan bertuah dan pameran 36 reruai disertai oleh sektor awam dan swasta.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai HPTN boleh melayari laman www.hptn.my dan saluran media sosial utama.

Turut berlangsung pada program itu adalah majlis menandatangai Perjanjian Usahasama antara Koperasi JKR malaysia dengan Sinar Selamat Sdn Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here