Pemuda PAS Selangor disiasat, telefon bimbit dirampas polis

0
37
Mohamed Sukri Omar (tiga dari kanan) hadir di IPD Shah Alam untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya untuk mengadakan perhimpunan protes sekiranya Presiden Pas disiasat.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar semalam hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi memberi keterangan berhubung amarannya untuk mengadakan perhimpunan jika kerajaan melakukan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menerusi catatan di Facebooknya, Mohamed Sukri berkata, beliau telah hadir ke IPD Shah Alam selepas dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Alhamdulillah saya telah memberi keterangan pada pihak PDRM ditemani peguam Sdra Amzar. Telefon bimbit saya telah dirampas untuk siasatan. Terima kasih teman-teman hadir menyokong dan pihak media yang membuat liputan. Kita BERANI KERANA BENAR! #DemiUmmahKitaBerjuang !

“Suka untuk saya sebutkan bahawa Kerajaan Campuran PH + BN tidak fokus membela rakyat tetapi sibuk report polis pada musuh politik mereka. Kerajaan Campuran PH + BN lupa tugas sebagai sebuah kerajaan,” katanya.

Sukri dalam kenyataannya sebelum ini memberi amaran kepada kerajaan dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mengheret Abdul Hadi ke Bukit Aman untuk siasatan polis.

Katanya, Pemuda PAS Selangor akan mengadakan perhimpunan besar-besaran sekiranya “tindakan tidak munasabah ini” diteruskan.

“Himpunan besar-besaran akan diadakan! Kami tak akan berundur!” tulisnya.

Semalam juga, Abdul Hadi dipanggil ke IPD Sentul dan Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung dakwaan beliau yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang PAS daripada berkuasa.

Abdul Hadi juga disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here