Penyebaran maklumat palsu, kandungan ekstrem di media sosial jadi keutamaan – Fahmi

0
16
(Dari kiri) Fahmi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamed Mentek dan ketua-ketua jabatan ketika majlis taklimat di Putrajaya, hari ini. – GAMBAR IHSAN JABATAN PENERANGAN.

PUTRAJAYA – Isu penyebaran maklumat palsu dan kandungan yang bersifat ekstrem di media sosial akan menjadi antara keutamaan Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil.

Berikutan itu, Fahmi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial bagi membincangkan mengenai kawal selia yang perlu dilaksanakan terhadap mereka dan undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Saya percaya selepas saya mengadakan pertemuan dengan beberapa penyedia perkhidmatan media sosial termasuk TikTok selepas ini, saya akan dapat faham apakah yang menjadi mungkin sedikit sebanyak isu terutama dari segi kawal selia dan saya harap semua pemain atau penyedia perkhidmatan media sosial akan sangat prihatin tentang undang-undang dalam negara kita dan keperluan untuk sentiasa menjamin keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Saya berharap mereka akan dapat membantu ke arah usaha ini,” katanya pada satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, antara contoh video ekstrem dan melampau yang dimaksudkan termasuk kandungan video menerusi aplikasi TikTok yang menyentuh insiden 13 Mei 1969 yang disebarkan baru-baru ini.

“Saya risau tentang masalah yang kita hadapi dalam media sosial pada waktu ini terutama penyebaran maklumat palsu atau konten yang agak ekstrem dan melampau. Ini juga telah dibangkitkan oleh beberapa menteri dalam mesyuarat khas Kabinet pagi tadi,” tambahnya.

Fahmi hari ini memulakan tugasnya sebagai Menteri Komunikasi Digital dan memulakan tugasnya dengan menghadiri mesyuarat khas Kabinet di Pejabat Perdana Menteri (PMO), pagi tadi.

Kemudian, beliau hadir ke kementerian bagi mendaftar masuk dan kemudiannya menghadiri sesi taklimat daripada kakitangan tertinggi kementerian berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here