Perancangan ekonomi negara baik, tidak jauh dari apa yang saya sangka – Rafizi Ramli

0
42
Mohd Rafizi Ramli yang memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Ekonomi sejak semalam.

PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi yang baharu dilantik, Mohd Rafizi Ramli berpuas hati dengan pelaksanaan dan hala tuju Unit Perancang Ekonomi (EPU) ke arah melonjak ekonomi negara menjadi negara berpendapatan tinggi.

Rafizi berkata, selepas mendengar taklimat daripada kepimpinan tertinggi EPU, beliau mendapati negara kini berada di landasan yang baik dengan isu-isu yang telah pun dikenal pasti oleh agensi berkenaan.

Ahli Parlimen Pandan yang memulakan tugas rasminya semalam juga merumuskan situasi ekonomi sekarang tidak jauh dari apa yang diramal sebelum beliau menjawat jawatan itu.

Justeru katanya, antara fokus utama yang akan diberi tumpuan adalah untuk bergerak keluar dari perangkap masyarakat berpendapatan sederhana.

“Saya dapati apa yang menjadi tumpuan EPU sekarang mempunyai kesinambungan dengan apa yang menjadi keperluan ekonomi di luar sana.

“Bagaimanapun, apabila kita pergi secara lebih terperinci dalam masa sebulan dua ini, saya rasa akan ada sedikit perubahan atau cara pelaksanaan yang berbeza.

“Tapi saya tidak melihat ada isu yang begitu ketara. Dari segi fokus, tumpuan ia boleh dikatakan berkait dengan apa yang saya rasa perlu diberi keutamaan demi negara,” katanya pada sidang media pertama sebagai Menteri Ekonomi di sini, hari ini.

Mohd Rafizi Ramli menghadiri taklimat bersama kepimpinan EPU hari ini.

Selain itu Rafizi berkata, kementerian itu juga akan memberi perhatian kepada pembangunan industri-industri yang berpotensi menambah pendapatan negara, membangunkan
negeri-negeri yang kurang membangun dan meneruskan agenda membasmi kemiskinan.

Beliau pada masa sama menyifatkan penjawat awam telah melakukan yang terbaik dalam pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.

“Saya akan memastikan perancangan dapat dilaksanakan dengan teliti dan semua maklumat disampaikan dengan baik kepada umum ..bagi memastikan semua orang berada di landasan yang baik, supaya kita mencapai momentum untuk membina ekonomi daripada terlalu banyak berpolitik,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan pada Rancangan Malaysia Ke 12 yang telah dibentangkan kerajaan sebelum ini, Rafizi berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diulas.

“Masih terlalu awal untuk bercakap pasal polisi, saya tidak akan sentuh perkara itu sebab ini tempoh awal saya sebagai menteri.

“Biar kita teliti dahulu semua aspek berkaitan kepimpinan, kementerian, sebelum diputuskan di peringkat Kabinet.

“Kami baru membuat penelitian (tentang Perbelanjaan Pembangunan) di peringkat makro, jadi terlalu awal untuk bercakap secara terperinci.

“Kerajaan akan membentangkan bajet emolumen dalam persidangan (Parlimen) seterusnya dan Bajet penuh untuk 2023 dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here