PH yakin pertahankan 20 kerusi DUN Negeri Sembilan – Aminuddin

0
16
GAMBAR HIASAN

SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun optimis partinya masih mampu mempertahankan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasainya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan yakin Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan menambah keyakinan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada PH.

“Kita ada enam bulan lagi (sebelum PRN) dan berharap Kerajaan Persekutuan ini dapat memberikan satu perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta membuka mata (pengundi) apa sebenarnya kita dapat lakukan kepada rakyat,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai jika ada kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Aminuddin berkata beliau belum boleh memberikan sebarang jawapan.

“Kalau kerjasama dengan BN dimuktamadkan saya rasa itu lebih memberi keyakinan tetapi saya tidak boleh jawab sekarang sebab masih jauh lagi dan belum ada perbincangan awal pun,” katanya lagi.

Naib Presiden PKR itu juga tidak menafikan penambahbaikan ke atas beberapa kerusi DUN tertentu perlu dilakukan terutamanya dari segi aspek calon itu sendiri, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

DUN Negeri Sembilan ketika ini diwakili 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dan 16 Barisan Nasional (BN) daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRU14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here