PM dedah kira-kira 1 juta golongan mahakaya, konglomerat terima lebih separuh subsidi elektrik

0
680
Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) hari ini. Kredit gambar PMO

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat kira-kira satu juta pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih daripada 50 peratus subsidi elektrik.

Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu dilihat semula kerana ia sepatutnya disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan.

“Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan mahakaya dan konglomerat ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.

“Sebagai contoh, TNB mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10 peratus dari angka itu yakni satu juta pengguna yang meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih dari 50 peratus subsidi elektrik.

“Jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambilkira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) yang turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, semua menteri yang berkaitan serta Ketua Setiausaha Negara.

Mengulas lanjut, katanya, mesyuarat itu adalah bagi membincangkan mengenai isu yang telah dibangkitkan pada mesyuarat khas yang lalu, di mana saya sendiri telah berikan masa selama dua minggu kepada kementerian terbabit untuk membentangkan semula kertas yang
komprehensif.

Beliau berkata, sebanyak tiga kertas telah dibentangkan dalam Mesyuarat NACCOL
hari ini yang mengupas isu, tantangan dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.

“Laporan-laporan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna.

“Kerajaan juga konsisten dalam membangun serta mendukung
pembangunan industri yang mampan. Sektor penternakan negara telah
lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan berhasrat untuk memudahkan industri itu untuk mengeksport ke luar produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan yang cukup untuk
keperluan rakyat.

Beliau berkata, ini termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutamanya kepada pengusaha tempatan.

“Pada saat ini, isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana
kekurangan bekalan akan memberi dampak yang buruk.

“Justeru, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campurtangan kerajaan di peringkat pengguna. Mesyuarat NACCOL telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar
telah disyorkan.

“Perkara ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet akan membuat keputusan esok,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here