Projek LCS diteruskan dengan penelitian semula

0
30
Kapal LCS yang masih dalam pembinaan.

PUTRAJAYA – Projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan diteruskan dengan penelitian semula pada beberapa aspek.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan diberikan taklimat berkaitan perkara berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Saya akan mendapatkan taklimat (LCS) berkenaan daripada pihak berkaitan supaya saya boleh benar-benar melihat latar belakang dan apa isunya.

“Kita akan pastikan supaya kapal-kapal (LCS) ini dibina, tiada guna cerita perkara lepas. Yang penting, kerana (LCS) ini merupakan aset strategik bagi ATM (Angkatan Tentera Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional, Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan Maktab Turus Angkatan Tentera Tahun 2022 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PuspaHanas) di sini hari ini.

Menurut Mohamad, beliau dan kepimpinannya akan memastikan kapal-kapal LCS dibina dan disiapkan dengan kadar terbaik.

Semalam, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berharap supaya kapal LCS menjadi antara keutamaan kerajaan baharu bagi memantapkan kemampuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khususnya di Armada Timur mempertahankan perairan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here