Siasat Azam Baki: Saya tidak maksudkan begitu – Rafizi Ramli

0
30
Mohd Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli hari ini menafikan dakwaan pernah mengugut akan menyiasat Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebaik sahaja gabungan partinya berjaya membentuk kerajaan.

Beliau bagaimanapun berkata, kenyataan yang dibuat itu hanya sekadar ‘kata-kata politik’ atau newsbite dan tidak ditujukan secara khusus kepada Azam Baki.

“Saya tidak rasa itu yang saya katakan. Saya rasa ia menjadi ‘political soundbite’ atau ‘newsbite’ tapi apa yang saya maksudkan adalah apabila kerajaan baharu mengambil alih
tumpuan kita adalah untuk menjadikan semua badan bebas dan mengikut undang-undang.

“Ini bukan kepada Azam Baki sahaja, semua pihak termasuk juga saya. Kita harus berhati-hati dengan setiap tindakan yang kita lakukan.

“Harapan saya adalah untuk memastikan institusi bebas serta terdapat semak dan imbang supaya semua orang berada di landasan yang betul.

“Biar undang-undang yang menentukan sendiri kebebasan dalam undang-undang. Ini adalah peringatan kepada kita semua,” katanya pada sidang media pertama sebagai Menteri Ekonomi di sini, hari ini.

Dalam video yang tular semasa kempen Pilihan Raya Umum ke 15, Rafizi berkata beliau akan menyiasat Azam Baki sekiranya Pakatan Harapan diberikan mandat sebagai kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here