Telur diimport berjaya lepasi piawai

0
144

CYBERJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam daripada sumber luar dan kebenaran ini akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.

Menurut MAFS dalam satu kenyataan hari ini, satu fasa percubaan melibatkan bekalan telur dari India yang dibawa masuk melalui laluan udara telah dilaksanakan, hari ini.

“Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara,” kata kementerian dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata MAFS lagi, hasil ujian yang dilaksanakan oleh MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas dari segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara.

“Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh Kerajaan juga telah dipatuhi tanpa kompromi,” tambah MAFS lagi.

Jelas MAFS, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here