Terengganu, Kelantan terima peruntukan RM100 juta, mangsa banjir di PPS mula menurun

0
10
PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas Kelantan semasa lawatan Perdana Menteri semalam. – Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu susulan banjir yang melanda negeri itu.

Anwar berkata, bantuan itu akan diagihkan sama banyak kepada Kelantan dan Terengganu sebagai bantuan awal untuk meringankan beban akibat bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023.

“Bantuan ini adalah sebagai pemberian wang ihsan,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan.

Anwar berkata, sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada setiap setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke PPS.

“RM10,000 kepada keluarga yang kematian ahli akibat banjir dan bayaran diberikan kepada KIR,” katanya.

Terdahulu, Anwar turut membuat tinjauan kawasan terjejas banjir di Bandar Baru Apam Putera, Pasir Mas.

Anwar Ibrahim ketika melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas Kelantan 21 Disember 2022. Foto Pejabat Perdana Menteri

Sementara itu, Bernama melaporkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan merekodkan penurunan, manakala jumlah mangsa di Pahang, Perak dan Johor kekal setakat malam ini.

Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir terus menunjukkan penurunan dengan 36,180 orang masih berlindung di 261 PPS di lapan daerah membabitkan Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang, berbanding 38,574 orang petang tadi.

Di Kelantan, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di 116 PPS di lapan jajahan meliputi Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok turut merekodkan penurunan kepada 30,551 orang malam ini berbanding 31,584 orang petang tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkesempatan mengadakan lawatan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas.

Di Pahang, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini kekal dengan 30 orang.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air Sungai Keratong, di Rompin kekal melepasi tahap bahaya, manakala di Maran, Sungai Pahang (Lubuk Paku) dan Sungai Luit (Kampung Subuh) serta Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan, masih melebihi tahap amaran.

Di Johor Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di Segamat kekal 48 orang malam ini, manakala di PERAK Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa juga kekal dengan 26 orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here