TikTok padam 2,113 kandungan video provokatif

0
20
Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil

PUTRAJAYA – Sebanyak 2,113 video TikTok dipadam oleh pengurusan aplikasi media sosial popular itu selepas didapati menyebar kandungan berbentuk sensitif dan ektremis setakat 26 November lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, sebahagian daripada kandungan itu disekat secara automatik kerana melanggar Garis Panduan Komuniti TikTok.

Katanya, sebanyak 857 video yang dikeluarkan pada pra hari mengundi (PRU15) iaitu pada 12 hingga 18 November telah disekat di platform TikTok secara automatik.

“Pada hari mengundi iaitu pada 19 November, sebanyak 130 video telah disekat secara automatik.

“Seterusnya, pada pasca pilihanraya iaitu pada 20 hingga 26 November sebanyak 1,126 video melibatkan unsur provokatif dan ekstrem telah disekat di platform TikTok,” katanya pada sidang media pertamanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kekangan automatik yang dilakukan oleh pihak TikTok adalah bersandarkan kepada sistem Artificial Intelligence (AI) yang dimiliki oleh platform media sosial itu.

“Saya difahamkan sekatan itu adalah berdasarkan kepada sistem Kecerdasan Buatan (AI) milik TikTok itu sendiri. Dari 1 Januari hingga 5 Disember 2022, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga memberikan sejumlah aduan kepada TikTok untuk menurunkan video.

“Jumlahnya adalah sebanyak 202 permohonan dan daripada jumlah itu, sebanyak 95 kandungan video diturunkan kerana melanggar Garis Panduan Komuniti TikTok,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata, kerajaan akan meneliti undang-undang sedia ada bagi mengekang penyebaran maklumat palsu di saluran media sosial khususnya yang menyentuh sensitivi 3R iaitu raja, kaum dan agama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here