
CYBERJAYA – Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) berjaya menggondol dua anugerah pada Majlis The BrandLaureate Awards Gala Dinner yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, malam semalam.
Lebih manis apabila salah satu daripada anugerah tersebut, ‘BrandLaureate Brand Icon Leadership Award’ dianugerahkan kepada Pengarah Urusannya, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Anugerah tersebut diberikan sebagai meghargai usaha Irmohizam dalam memainkan peranan yang memberi impak dan menyumbang secara signifikan kepada pengembangan dan kejayaan Industri Acara Perniagaan (BE) di Malaysia.
Bagi ‘Nation’s Pride Brand of The Year’, WTCKL dianugerahkan gelaran tersebut di atas peranannya selaku sebuah pusat konvensyen mercu tanda Kuala Lumpur yang terkenal dengan kepelbagaian acaranya.
“Kita mesti kekal tangkas dalam menyesuaikan diri dengan iklim perniagaan semasa dan kita
mesti mengambil langkah yang betul untuk menghidupkan semula industri Acara Perniagaan,
meningkatkan keterlihatan kita, dan membantu dalam mempercepatkan pertumbuhan sosioekonomi.
“Kini adalah masa yang sesuai untuk kita bersungguh-sungguh menyokong kepentingan industri ini dan secara aktif mempromosikan pertumbuhan Acara Perniagaan, serta melabur dalam modal insan dan teknologi acara baharu,” kata Irmohizam.
Selain penganjuran konvensyen, pameran dan perhimpunan, WCTKL turut pernah dijadikan Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV Mega) hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM).