Wisma Jakel terbakar lagi selepas kejadian dua hari lalu

0
32
Kebakaran di bilik simpanan kain langsir Wisma Jakel pada malam tadi. Foto – JBPM

SHAH ALAM – Wisma Jakel yang terletak di Seksyen 7 di sini terbakar sekali lagi malam tadi selepas kebakaran yang hampir memusnahkan gedung pakaian terkemuka itu tiga hari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.40 tengah malam dan pasukan tiba di lokasi pada pukul 12.52 tengah malam.

Kejadian itu menurutnya melibatkan bilik simpanan kain langsir berkeluasan 30X40 kaki persegi di tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 12.52 tengah malam dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada 1.45 pagi.

“Api kemudian berjaya dipadamkan keseluruhannya pada 3.07 pagi dan kerja-kerja overhaul sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, seramai 43 anggota dan aset dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam; BBP Puchong; BBP Kota Anggerik;BBP Damansara; BBP Sungai Pinang; BBP Petaling Jaya dan BBP Kota Raja dikerah ke lokasi kejadian.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu.

Dalam kejadian terdahulu, gedung pakaian itu dilaporkan musnah kira-kira 80 peratus apabila kebakaran berlaku pada pukul 7.08 pagi Ahad lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Mohamed Faroz Mohamed Jakel sebelum ini berkata, kejadian pertama menyebabkan kerugian hampir RM100 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here