
PUTRAJAYA – Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris tidak menolak kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Beliau berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga dijangka didakwa di mahkamah esok.
“Muhyiddin telah diminta hadir ke ibu pejabat SPRM… dan kita jangkakan beliau akan ditahan (hari ini) dan didakwa di mahkamah esok,” kata Razali kepada wartawan yang berkumpul di luar ibu pejabat SPRM.
“Kami menganggap ini tidak berperikemanusiaan kerana parti akan mengadakan pemilihan esok, dan Parlimen juga sedang bersidang,” katanya.
Terdahulu Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 11.18 pagi tadi.
Muhyiddin sebelum ini mengesahkan dipanggil SPRM berhubung projek yang dianugerahkan di bawah Jana Wibawa, inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera yang diperkenalkan pada November 2020 semasa beliau menjadi Perdana Menteri.