Pengadil kontroversi Liga Super, Zulkarnain Zakaria digantung serta merta

0
70
Zulkarnain Zakaria ketika mengadili perlawanan antara Sabah FC dan Penang FC kelmarin.

KUALA LUMPUR – Pengadil bagi perlawanan antara Sabah FC menentang Penang FC, kelmarin, Zulkarnain Zakaria digantung secara serta-merta daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023 selepas membuat beberapa keputusan kontroversi dalam perlawanan itu.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM bersidang semalam.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM telah sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan tersebut, Zulkarnain Zakaria telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

Katanya, jawatankuasa itu juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 yang akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here