
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menempelak Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman yang sengaja menutup mata dengan menuduh kawasan Parlimen tersebut dianaktirikan oleh kerajaan terdahulu.
Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Ganabatirau ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam adalah tidak benar kerana terdapat pelbagai projek pembangunan terutamanya berkaitan pendidikan.
“Tuduhan YB Klang bahawa kawasan tersebut dianaktirikan adalah tidak benar, khususnya sewaktu saya di Kementerian Pendidikan (KPM).
“Untuk makluman YB Klang, ketika saya di KPM antara sekolah yang lulus di RP1-RMK12 dan RP2-RMK12 di Klang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning (2) dengan pembinaan baharu 42 bilik darjah, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Raja, Klang dengan pembinaan baharu 36 bilik darjah dan SMK Meru (2) dengan pembinaan baharu 42 bilik darjah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu katanya terdapat dua projek pembinaan bangunan baharu iaitu di SK Pulau Indah dan SML Meru.
“Perancangan untuk projek-projek penbinaan sekolah baru sememangnya mengikut satu proses yang telus dan mengambil kira kepadatan penduduk di satu-satu kawasan.
“Tidak timbul isu menganaktirikan siapa-siapa. Saya percaya proses yang sama akan diteruskan oleh KPM pada masa akan datang,” ujarnya.